Jom Reset Minda

Jom tukarkan perkara-perkara negatif dalam fikiran, tingkah laku dan pertuturan kita kepada yang positif. Perkara - perkara positif akan menjadikan kita kuat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Khamis, 28 Jun 2012

Kenapa aku?

Kenapa aku?....Itulah persoalan yang berlegar-legar di fikiran aku tatkala aku baru didiagnos sebagai +ve. Bermacam-macam soalan yang aku tanya pada diri aku sendiri untuk mencari jawapan kenapa aku menjadi PLHIV. Kenapa aku yang dijangkiti bukannya orang lain? Kenapa aku dijangkiti pada usia aku yang masih muda? dan banyak lagi. Sukar bagi aku untuk menerima hakikat yang aku bertemankan dengan virus ini. Inilah yang dinamakan fasa penafian atau denial stage. Dalam fasa ini setiap orang yang telah di diagnos akan mencari 1001 alasan untuk menafikan yang mereka adalah PLHIV. Seperti aku, setelah aku mendapat tahu keputusan darah yang pertama dan ianya adalah +ve, doktor di klinik yang aku diagnos itu memberi tahu aku yang ujian pengesahan akan dilakukan untuk memastikan keputusan ujian saringan itu adalah betul. 

Setelah aku bersetuju untuk melakukan ujian pengesahan itu, aku berharap agar keputusannya adalah -ve walaupun aku tahu ia adalah mustahil. Hampir sebulan aku menunggu keputusan ujian pengesahan itu. Dalam masa sebulan tu, aku terbaca satu artikal berkenaan false positive. Aku tertarik untuk mencari maklumat berkenaan false positive. Ini kerana aku berharap agar keputusan aku tu adalah false positive. Namun keputusannya tetap +ve. Jadi bermulalah fasa hidup aku sebagai seorang PLHIV. Jadi aku harus belajar menerima hakikat. Dari sehari ke sehari aku mencari kekuatan dalam diri aku. Aku cuba bangun setelah aku jatuh. Walaupun susah untuk aku bangun namun aku tetap teruskan usaha. 

Pada satu hari, muncul satu soalan dalam fikiran aku. Dari mana aku boleh dapatkan bantuan sokongan untuk PLHIV. Muncullah perkataan Majlis Aids Malaysia (MAM) dalam fikiran aku. Aku google website MAM untuk mendapatkan bantuan sokongan. Aku menghantar email kepada MAM dan email aku dibalas berserta dengan nombor telefon seseorang yang aku boleh dapatkan bantuan sokongan dan semangat. Insan itulah yang secara perlahan-lahan menyokong aku untuk aku bangun. 

Bagi aku, sokongan daripada rakan-rakan yang senasib amatlah perlu bagi seorang PLHIV untuk mereka bangun dari jatuh. Merekalah sumber kekuatan selain daripada ibu, ayah, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Apa yang diperlukan oleh PLHIV bukanlah simpati atau tagisan dari orang sekeliling tetapi semangat dan sokongan. Diskriminasi dan prejudis bukanlah sesuatu yang diperlukan oleh PLHIV kerana kami juga insan normal seperti mereka yang -ve diluar sana. Sekarang aku dah ada ramai kawan-kawan yang memberi sokongan dan sekarang aku dah boleh menerima hakikat dan meneruskan hidup untuk mengejar cita-cita.